About Me

My photo
# berasal dari sri aman.. # sesiapa yang berminat boleh pm saya... whatapps /we chat /sms ke 0128700369

Friday 17 February 2012

PUNCA-PUNCA KEMALANGAN MAUT DI JALAN RAYA



Sedasawarsa ini, sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia tentang isu kemalangan maut yang semakin banyak berlaku di negara kita ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.Hal ini dikatakan demikian kerana fenomena ini kian kritikal dan menggusarkan fikiran masyarakat kita.Tambahan pula,negara kita Malaysia telah disenaraikan sebagai sebuah negara yang mencatat jumlah kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya.Hal ini merupakan satu keaiban bagi seluruh penduduk di Malaysia. Biar kita ambil contoh,setiap hari sama ada dikaca-kaca televisyen,didada-dada akhbar, mahupun dicorong-corong radio pasti ada sahaja dipaparkan kemalangan jalan raya yang meragut nyawa manusia.Sebagai memperkukuhkan lagi penyataan tersebut, punca-punca dan langkah-langkah yang menunjangi permasalahan ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.
Antara punca kemalangan maut yang paling signifikan ialah sikap pemandu atau penunggang itu sendiri.Hal ini disebabkan pemandu yang bersikap mementingkan diri,malah tidak sabar ketika berada di jalan raya dan tidak mematuhi jalan raya.Sebagai contoh,pemandu kenderaan yang memandu kereta dengan laju tanpa mematuhi had laju yang dibenarkan.Secara tidak langsung,pemandu bukan sahaja mempertaruhkan nyawa sendiri malah nyawa pengguna jalan raya yang lain.Antara contoh yang lain ialah,gelagat penunggang motosikal yang suka memecut dan memotong kenderaan lain dalam keadaan yang tidak selamat seperti di kawasan yang sempit,di selekoh,di garisan berkembar dan memotong di sebelah kiri kenderaan.Perdana menteri kita juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa penunggang-penunggang motosikal tersebut mungkin menyangka bahawa mereka tidak akan menemui maut di jalan raya.Sudah terang lagi bersuluh,jelaslah bahawa sikap pemandu atau penunggang motosikal itu sendiri merupakan faktor utama menyebabkan berlakunya kemalangan maut.
Punca seterusnya ialah disebabkan keadaan struktur jalan raya yang tidak selamat daripada pelbagai aspek.Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat keadaan jalan raya yang berlubang-lubang,sempit,lampu jalan rosak dan tidak rata sudah pasti mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.Bukan itu sahaja,struktur jalan raya yang berbelok-belok sehingga menyebabkan kenderaan terbabas atau sukar dikawal.Selain itu,struktur cerun jalan yang curam meninggikan lagi risiko kerosakan brek.Bagi jalan yang lebar dan luas pula,keadaan tersebut meningkatkan kecenderungan pemandu memandu dengan laju.Sebagai contoh,di Lebuhraya Timur Barat,struktur jalan dikatakan kurang berkualiti kerana terdapat banyak kawasan jalan yang beralun malah banyak kemalangan maut direkodkan dikawasan itu.Intihannya,sudah jelaslah bahawa struktur jalan raya juga turut menjadi punca kepada berlakunya kemalangan maut.
Selain itu,kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan juga meerupakan punca berlakunya kemalangan maut.Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat,serta mampu memberi  kesan terhadap psikologi masyarakat tempatan,namun ketidaktegasan dalam pelaksanaan undang-undang sudah pasti membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk terus melakukan kesalahan jalan raya.Biar kita ambil contoh,akibat daripada ketidak jujuran segelintir pihak berkuasa yang sanggup menerima rasuah.Hal ini dikukuhkan lagi apabila sebuah bas yang digunakan sejak tahun 1987 serta telah empat kali gagal dalam pemeriksaan Puspakom Sdn Bhd kerana masalah brek.Bukan itu sahaja,dendaan dan kompaun sebanyak Rm300 bagi kesalahan seperti memandu melebihi had laju,melanggar lampu isyarat merah tidak berkesan kerana pemandu mampu membayar jumlah tersebut.Oleh itu,impaknya,pemandu tidak kentar melakukan kesalahan di jalan raya.Konklusinya,kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan merupakan salah satu punca berlakunya kemalangan maut.
Antara langkah mengatasi masalah kemalangan maut ialah memperketat penguatkuasaan undang-undang jalan raya yang sedia ada dengan lebih tegas.Lantaran itu,akta pengangkutan jalan 1997,perlu dipinda semula supaya hukuman lebih berat dikenakan kepada pesalah trafik yang melibatkan kematian.Selain itu,penjara lima tahun tidak sesuai lagi malah harus digantikan dengan hukuman penjara selama 10 tahun mandatori.Disamping itu juga,’corporal punishment’atau deraan seperti hukuman rotan mandatori juga mesti diperkenalkan.Bukan itu sahaja,syarat pemilikan lesen memandu harus diperketat dan syarat umum pemilik lesen harus dipertingkatkan kepada 21 tahun.Hal ini kerana banyak kemalangan maut yang berlaku melibatkan golongan berumur belasan tahun.Kesimpulannya,penguatkuasaan undang-undang harus diperketat lagi bagi mengatasi masalah kemalangan maut.
Selain itu,antara usaha yang patut diimplementasikan ialah memperbanyak kempen yang sedia ada.Menerusi kempen keselamatan jalan raya yang sedia ada dengan pengisian baharu seperti iklan keselamatan dan kemalangan maut yang lebih realistik dan berkesan perlu disiarkan.Selain itu,pihak berkuasa juga harus menyiarkan lebih banyak propaganda tentang sikap buruk pemandu dan mencipta slogan-slogan baharu tentang kepentingan berhemah di jalan raya.Disamping itu juga,saluran media juga boleh digunakan untuk menyampaikan slogan-slogan seperti ’pandu cermat,jiwa selamat’, ‘jauhi jarak anda’ dan sebagainya secara berterusan.Hal ini kerana kempen boleh mempengaruhi pengguna supaya sedar akan kesan buruk kemalangan maut.Oleh itu,sudah jelaslah bahawa memperbanyak kempen yang sedia ada merupakan salah satu langkah mengatasi kemalangan maut.
Sebagai menutup tirai perbincangan,segala punca dan langkah mengatasi masalah kemalangan maut perlu diteliti dan diambil tindakan drastik lagi pragmatik demi kebikan bersama.Pihak berkuasa khususnya polis trafik haruslah mengadakan lebih banyak Ops Sikap bagi mengurangkan masalah kesalahan jalan raya yang mengakibatkan kemalangan maut.Selain itu,semua pihak perlulah bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi menangani masalah kemalangan maut.Segala usaha yang dilaksakan hendaklah berterusan dan istiqamah bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam ataupun sekadar melepaskan batuk ditangga sahaja.Jangan sampai sudah terhantuk baru tergadah,barulah inisiatif dirangka untuk mengatasi masalah ini.Oleh itu,semua masyarakat haruslah beringat dan jangan  jadikan lebuhraya sebagai pusara kerana nyawa manusia merupakan satu anugerah  yang perlu dihargai.


# tok la esei terbaek ku sepanjang ku berada di tingkatan 6..
  thanx to my BM teacher Mdm jasmine....
 tanpa nya maybe ku tak dapat buat karangan sebaik ini...
jasamu dikenang selalu cikgu....



No comments:

Post a Comment